Assalamualaikum wr. wb. & Salam Sejahtera
kepada semua Pengurus Outlet dan Ahli EEM sekelian.
Membuat keputusan adalah satu proses yang penting dalam hidup kita. Ia berlaku setiap hari dan pada semua peringkat umur. Umpamanya, anak-anak kita di kantin sekolah perlu memutuskan untuk makan apa, minum apa pada waktu rehat. Nak pilih air sirap atau minuman ringan bergas. Ibu di pasar pula perlu memilih lauk, sayur dan lain-lain bahan untuk menyediakan makanan keluarga. Begitu juga di peringkat organisasi serta negara proses untuk membuat keputusan akan sentiasaberlaku. Jika salah membuat keputusan maka bermakna pemilihan kita tidak tepat. Kesannya bergantung kepada berat sesuatu perkara yang diputuskan.
Jika anak memilih minuman ringan bergas maka kesan kesihatan jangka panjang mungkin membawa kepada obesiti. Jika ibu memilih ikan/ayam kurang segar di pasar mungkin akan membawa kesan alergi pada ahli keluarga yang memakan masakan yang disediakannya. Jika kita memilih untuk tinggal di kawasan persekitaran tercemar maka kemungkinan kita akan menghadapi risiko kanser pada masa hadapan. Dari itu membuat keputusan yang betul adalah sangat penting.
Islam mengajar kita, membuat keputusan haruslah bersandarkan ilmu. Ilmu pula haruslah yang betul, berfakta dan tepat. Membuat keputusan bersandarkan emosi haruslah dijauhkan. Jangan juga membuat keputusan secara ikut-ikutan, bersandarkan khabar angin apatah lagi fitnah. Dalam suasana dunia sekarang komunikasi sangat mudah, berita boleh tersebar dengan pantas melalui Akhbar, TV, radio, sms, lelaman web, blog, facebook, twitter dan macam-macam lagi. Sesiapa saja boleh menghantar apa saja berita atau mereka-reka cerita. Tiada badan autentik / autoriti yang sempat untuk menapis semua berita. Dari itu kitalah yang perlu membuat keputusan dengan betul.
Bidang kita, perubatan komplementari; Homeopati, Biokimia Schuessler dan Herba telah wujud di dunia sejak sekian lama, melebihi 200 tahun; Homeopati (sejak 1796), Biokimia Schuessler (sejak 1873) dan Herba jauh lebih lama. Para penuntut Kolej Homeopati Darulaman pula telah menimba ilmu Homeopati melalui Allahyarham Prof. Dr. Azizan Ismail. Beliau pula sebelumnya telah menuntut dalam bidang ini melalui Allahyarham Prof. Mohammed Yaacob salah seorang anak murid Allahyarham Prof. Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Dr. Burhanuddin, pengasas perubatan homeopati di Tanah Melayu, merupakan anak murid dan anak didik Allahyarham Kapten Dr. Rajah Azim S. seorang doktor perubatan tentera British yang berkhidmat di Singapura mulai tahun 1933, sebelum Perang Dunia ke II. Beliau juga merupakan graduan dalam bidang perubatan Homeopati.
Pada waktu itu negara kita belum mempunyai badan kerajaan untuk mengembangkan ilmu ini. Menyedari kebaikan Homeopati maka, insan-insan mulia ini mengambil inisiatif untuk mengembangkan ilmu ini kepada rakyat Malaysia. Jika tidak diusahakan pasti ilmu bermanfaat ini akan terkubur. Menyedari kebaikan Homeopati dan pelbagai perubatan komplementari lain maka kerajaan kita telah menubuhkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tahun 2004 untuk menyelaras dan mengembangkan perubatan ini. Majlis Perubatan Homeopathy Malaysia pula begitu aktif berusaha untuk mewujudkan standard dalam pengamalan serta pengajian ilmu perubatan Homeopati selaras dengan keperluan pendidikan negara. Kini telah ada sebuah universiti swasta tempatan yang menawarkan kursus perubatan Homeopati (BHMS) yang standard (lulus MQA) di Malaysia. [ Dengan penawaran kursus oleh universiti tersebut maka fungsi Kolej Homeopati Darulaman (menjalankan kursus Diploma Homeopati Asas dan Lanjutan) kini didormankan ]. Semua peminat ilmu perubatan homeopati boleh menimba ilmu di universiti tersebut. EEM menyokong penuh pengajaran serta pengamalan ilmu perubatan homeopati yang standard. Alhamdulillah nampaknya usaha pejuang-pejuang Homeopati negara kita yang terdahulu mendapat penerusan dan kini berkembang positif.
Bagi Ahli-Ahli EEM yang telah memiliki ilmu ini mahupun ilmu-ilmu lain yang bermanfaat, yakinlah bahawa ilmu itu dari Allah dan jangan dipersia-siakan. Solat tanpa memahami ilmu tentang solat adalah sia-sia. Tetapi jika sudah belajar ilmu tentang solat namun tidak mengerjakan solat maka lebih dahsyat akibatnya. Maka beramal tanpa ilmu adalah sia-sia dan ilmu tanpa amal adalah celaka. Dari itu ayuh amalkan ilmu-ilmu baik yang kita ada dengan niat yang ikhlas untuk memberi manfaat kepada makhluk Allah yang lain. Kita harus yakin dan memartabatkan ilmu yang Allah amanahkan pada kita. Jangan membuat keputusan meninggalkan ilmu tanpa bersandarkan fakta, jangan ikut emosi, hasutan, fitnah atau bisikan syaitan. Yakinlah pada pendirian kita bersandarkan ilmu yang betul.
Adalah menjadi polisi EEM untuk bermuamalah berasaskan ilmu, kebajikan dan ekonomi. EEM meletakkan ilmu di hadapan produk. Ahli-Ahli EEM boleh membantu masyarakat dengan ilmu-ilmu perubatan komplementari, pemakanan kesihatan, konsep halalan thoiyyiba dan perniagaan Islam. Hanya dengan ilmu akan wujud profesionalisme dalam pengurusan perniagaan kita.
Untuk meningkatkan profesionalisme di kalangan usahawan EEM maka pada 2011 ini EEM merancang untuk mengadakan satu Kursus Mega-Bermuamalah Berasaskan Ilmu. Untuk maklumat lanjut sila hubungi ibupejabat EEM atau layari lelaman web EEM (www.eraedar.com.my). Tenaga pengajarnya terdiri dari pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang dijemput dari agensi, institusi serta organisasi tertentu. Kepada semua Ahli, jangan lepaskan peluang ini. Profesionalisme akan meningkatkan potensi diri serta perniagaan.
Selamat maju jaya.
Dr. (H) Hj. Jamaludin b. Mat Piah
Pengarah Urusan EEMSB